THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES

Wednesday, October 14, 2009

iSu pembinaAn kEluaRGa IsLam : siKap iBu BaPa puNca aNak Lupa AgaMa

SEORANG wanita mengajukan persoalan yang bermaksud kebanyakan wanita zaman sekarang lupa kepada agama. Adakah masalah itu berpunca daripada sikap ibu bapa? Saya lebih suka frasakan pernyataan itu kepada ’sebilangan umat Islam hari ini sudah lupa pada agama’ kerana ia lebih saksama dan menggambarkan realiti sebenar.

Hakikatnya, bukan wanita saja yang lupa pada agama. Lelaki juga bahkan tanggungjawab mereka sebenarnya lebih berat kerana Allah meletakkan kelebihan kepada lelaki sehingga mereka menjadi pelindung kepada wanita.

Jika ramai wanita hari ini melupakan agama, sebahagiannya berpunca daripada lelaki yang juga meninggalkan agama sehingga mereka gagal melindungi wanita mereka daripada melanggar hukum agama.

Apakah gejala lupa kepada agama berpunca daripada kurangnya pendidikan ibu bapa? Pernyataan itu sebenarnya menggambarkan apa yang disebut Rasulullah SAW dalam hadisnya yang bermaksud: “Setiap anak Adam itu dilahirkan dalam keadaan fitrah, ibu bapanya yang menjadikan ia Yahudi, Majusi dan Nasrani.”

Hadis ini menunjukkan jika anak membesar dengan corak akhlak atau pegangan hidup yang tertentu, ia boleh dikesan kepada pendidikan yang diterima daripada ibu bapa.

Ibu bapa adalah madrasah (sekolah) pertama bagi anak. Sebelum anak dihantar ke institusi pendidikan formal bermula dari tadika, sekolah dan peringkat lebih tinggi, anak mempelajari asas pembentukan pandangan hidup (akidah) dan sahsiah (keperibadian dan akhlak) daripada ibu bapa mereka. Inilah objektif pendidikan sebenar.

Pendidikan ialah menurunkan nilai sehingga lahir insan mempunyai pegangan hidup yang mantap dan jitu. Bagi umat Islam, nilai itu ialah nilai Islam yang berteraskan tauhid. Asas tauhid yang mantap menatijahkan tingkah laku, tutur kata dan tindakan didasarkan tuntutan syariat Islam.

Jika hari ini kita melihat anak perempuan dan lelaki mendedahkan aurat, bergaul bebas tanpa batas, terbabit dengan pelbagai gejala sosial, maka itu adalah natijah daripada pendidikan yang mereka terima di rumah – pastinya tidak menepati apa yang dikehendaki Islam.

Mereka mungkin terpelajar dan mencapai kejayaan cemerlang dalam akademik, tetapi itu bukan matlamat pendidikan. Pendidikan Islam bukan sekadar menguasai bidang teknikal dan akademik, tetapi lebih menjurus pemupukan nilai dan pembentukan akhlak.

Ia tidak bermakna Islam mengetepikan akademik kerana ia adalah bahagian penting daripada pembinaan kebudayaan dan tamadun, tetapi mesti diasaskan atas pendidikan tauhid yang mantap.

Beberapa kajian menunjukkan kesilapan mendidik anak pada peringkat awal (antara umur tiga hingga tujuh tahun) menyebabkan kecelaruan nilai dan keruntuhan akhlak pada peringkat umur 13 hingga 20 tahun.

Berdasarkan penilaian ini, masalah yang berlaku pada kelompok umur remaja sebenarnya boleh dikesan pada peringkat awal pendidikan. Siapakah yang bertanggungjawab pada peringkat umur di bawah tujuh tahun kalau bukan ibu bapa. Boleh kita simpulkan di sini ibu bapa menjadi satu daripada punca kepada sikap umat Islam yang melupakan agama mereka hari ini.

Pendidikan awal penting dan Rasulullah SAW berpesan kepada ibu bapa supaya menyuruh anak mendirikan sembahyang pada usia tujuh tahun. Ia bermakna pada umur itu anak tadi sudah patut menerima dan mematuhi suruhan agama.

Ia juga bermakna anak sudah terbiasa dengan suasana ibu bapa dan keluarga yang mendirikan dan mementingkan ibadat solat di rumah. Jika mereka tidak terbiasa melihat ibu bapa dan seisi keluarga mendirikan solat, bagaimana mungkin anak boleh meniru dan melakukan perbuatan sama.

Sebenarnya, ini juga satu isyarat bahawa pendidikan yang sebenar ialah dengan amal. Pendidikan hanya akan berlaku apabila pengajaran berlaku dalam bentuk amal, bukan dalam bentuk kata-kata. Ia juga menunjukkan hanya ibu bapa yang terdidik dengan kehidupan Islam mampu mendidik anak dalam acuan dikehendaki agama.

Kemudian kita lihat Rasulullah SAW menyuruh ibu bapa memukul anak yang masih meninggalkan solat ketika berusia 10 tahun. Pengajarannya ialah apabila anak sudah berusia 10 tahun, nilai kehidupan sepatutnya sudah mewarnai jiwanya sehingga dia akan melakukan suruhan agama dan meninggalkan larangannya tanpa disuruh.

Jika masih meninggalkan solat pada usia itu, ia satu petanda nilai belum terbina dengan baik sehingga hukuman perlu digunakan bagi memperbetulkan keadaan.

Apabila anak memasuki umur baligh keadaan menjadi lebih sukar jika jiwa mereka tidak dipupuk dengan nilai yang berlandaskan syariat Islam.

1 comments:

Noor Hafizah said...

Sekadar mengulas tentang tajuk ini...sememangnya pendidikan itu penting sejak dari kecil lagi. Anak-anak sememangnya diasuh supaya menjadi insan yang berguna. Pendidikan berada dalam pemerhatian ibu bapa..Bila kita meningkat dewasa dan belia pendidikan menjadi jauh dari pemerhatian ibu bapa. Contohnya bila kita berada di Universiti. Maka kawan2 menjadi pengaruh utama selepas ibu bapa. Disinilah iman remaja diuji. kalau buruk akhlak kawan maka kita akan mudah ikuti. Begitu juga sebaliknya. setinggi mana didikan agama diberi ia tetap bergantung pada ktinggian iman sebagai menepis segala pengaruh buruk. Sekiranya pendidikan yang tinggi telah diberi tapi kalau nafsu kearah mazmumah maka pendidikan yang diberi tak bernilai. Ini laa yang terjadi pada mahasiswa kita pada masa sekarang. Walaupun belajar sehingga peringkat ijazah atau sarjana tetapi ada juga yang bodoh sehingga mempertaruhkan maruah kerana nafsu rakus walaupun tahu zina itu dosa yang berat. Sekuranag-kurangnya pendidikan agama yang mampu menhalang segala pngaruh buruk. Wassalam