THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES

Monday, September 7, 2009

ISU EKONOMI ISLAM : PERKASAKAN PERBANKKAN ISLAM

"Bukan Islam merupakan separuh daripada pelanggan perbankan Islam Al Amin OCBC menurut Ketua Pegawai Eksekutif"

Perbank Islam semakin mendapat tempat di hati bukan Islam di seluruh dunia kerana ketegasannya dalam prinsip pembiayaan, menurut bank ketiga terbesar Singapura itu, menyaksikan usaha industri perbankan menjadikan sumber kerpecayaan sebagai satu langkah dalam mendapatkan tempat dalam pasaran.

Kewangan Islam merupakan satu adunan ekonomi Islam dan prinsip pinjaman moden dimana produknya boleh dinikmati dan dimanfaatkan oleh orang Islam dan bukan Islam.

Pada suatu ketika dahulu perbankan Islam merupakan satu pasaran yg kecil bagi menyediakan kemudahan bagi umat islam yg mengelakkan perbankan konvesyenal kini kewangan Islam merupakan produk popular kebelakangan ini oleh kerana pelaburan besar oleh syarikat dari Negara Teluk dan meningkatnya permintaan dalam pelaburan beretika.

Orang bukan Islam juga sekarang telah mula mencari pelaburan2 yg berisiko rendah sebagai alternatif kepada keadaan kredit global masa sekarang yg menyaksikan tahap keraguan mereka terhadap tatacara pengurusan risiko mengikut praktis barat.

Business Times 1/12/2008
http://www.btimes.com.my/Current_News/BTIMES/articles/20081201152232/Article/


Artikel ini dpetik dari Business Times. Rencana ini berkenaan Orang Bukan Muslim yg semakin berminat menggunakan produk perbankan Islam. Bagaimana reaksi kita terhadap perkara ini. Jadilah pengguna yg bijak dalam menilai sesuatu perkara.Perlukah kita sebagai orang Islam sendiri memperlekehkan sistem sendiri sedangkan orang lain mengetahui akan kekuatannya.

ISU PENDIDIKAN ANAK-ANAK : DIDIK ANAK SAYANGKAN NEGARA

Bagi sebahagian golongan muda kemerdekaan bererti kebebasan dengan berkumpul di tempat-tempat di mana ambang kemerdekaan akan disambut hatta biarpun di bulan Ramadan.

Ia menjadi semakin meriah apabila ada VVIP yang hadir biarpun sepatutnya VVIP berkenaan berada di Masjid Negara bagi menghadiri majlis doa selamat.

Semua keadaan ini sebenarnya adalah satu ancaman yang semakin menular di kalangan rakyat Malaysia. Perasaan sayang kepada negara semakin terhakis di kalangan generasi muda dan mereka juga tidak akan sama sekali memahami betapa bernilainya sebuah kemerdekaan.

Oleh itu, kita tidak perlu membuang masa berhujah atau membuat seruan supaya menghargai dan mengingati jasa-jasa pejuang kemerdekaan, kerana sebahagian generasi muda tidak akan mempedulikan itu semua.

Pemikiran dan pandangan mereka tidak lagi serupa dengan generasi sebelum merdeka atau generasi yang mengenal sejarah. Kita kini berhadapan dengan generasi Facebook, Myspace dan entah-entah apa-apa lagi kelompok yang lebih mengenal sejarah hidup artis atau ahli sukan berbanding pahlawan-pahlawan bangsa.

Malah kita juga tidak perlu berasa terkejut kalau di kalangan generasi berkenaan untuk menyebut lima menteri Kabinet pun mereka tidak tahu, apatah lagi meminta mereka menghuraikan siapa itu Tok Janggut.

Inilah realitinya dan inilah juga generasi yang sering kita laung-laungkan sebagai pewaris masa depan negara. Persoalannya, apakah masa depan negara itu akan benar-benar wujud atau 52 tahun lagi, Malaysia sudah tiada identiti bangsanya?

Semua ini tidak mustahil akan berlaku jika generasi tersebut terus 'dijajah' akibat ledakan teknologi maklumat sekarang. Kehilangan identiti bangsa tersebut sekali gus akan meletakkan Malaysia dalam bahaya. Impian untuk melihat kita maju dengan acuan sendiri hanya akan menjadi satu mimpi indah yang mengasyikkan.

Persoalannya, sebelum terlambat apakah yang boleh kita lakukan, bagi mengembalikan sebahagian generasi muda ini untuk memahami betapa besarnya erti sebuah kemerdekaan dan betapa pentingnya mereka menghargai negara sendiri.

Setakat ini, kita harus akui tiada usaha bersungguh-sungguh dilakukan oleh mana-mana pihak untuk menanam semangat patriotik di kalangan generasi muda.

Kita hanya melaungkan seruan mengibarkan Jalur Gemilang atau menjerit 'merdeka' bersama-sama mereka di malam 31 Ogos, tetapi selepas itu apa kesannya?

Parti-parti politik pula lebih banyak bercakaran sesama sendiri demi merebut kuasa. Kalau ada sedikit sahaja isu berkaitan kaum yang boleh dieksploitasikan, mereka akan menggunakannya habis-habisan. Mereka tidak peduli kesannya kepada generasi muda.

Mereka tidak mahu memikirkan bahawa generasi muda melihat apa yang mereka lakukan dan ia kesudahannya akan menjadi contoh. Akhirnya yang akan menjadi mangsa ialah negara.

Justeru janganlah memandang ringan fenomena tidak sayangkan negara yang semakin menular di kalangan generasi muda tersebut. SMS yang dipaparkan pada awal rencana ini, sudah jelas membuktikan bahaya yang menanti kita.

Kita tidak pasti, apa yang akan dilakukan oleh kerajaan dan apa pula sumbangan parti-parti pembangkang dalam soal ini.

Selagi semangat meletakkan kepentingan politik mengatasi segala-galanya, maka selagi itu generasi muda akan terus hanyut dengan dunia mereka.

Tokoh-tokoh politik yang ada sekarang akan meninggalkan alam fana ini apabila tiba masanya, oleh itu kalau benar mereka sering melaung-laungkan untuk mewariskan sebuah negara yang aman, damai dan maju dengan identiti sendiri maka mereka perlu bertindak daripada sekarang untuk menyedarkan generasi muda daripada terus hanyut dengan dunia mereka.

Malaysia sudah 52 tahun mereka, Malaysia memerlukan pewaris bangsa yang mempunyai identitinya sendiri dan bukan 'kembali dijajah' dengan budaya luar.

Semua ini hanya akan mampu tercapai seandainya, daripada sekarang kita menerapkan kepada mereka untuk menghargai kemerdekaan dalam erti kata sebenar. Kita harus faham sama ada sesebuah negara itu mampu terus merdeka atau tidak, ia bergantung kepada pewaris pemerintahan negara.

Semoga pihak-pihak berkenaan tidak memandang ringan isu yang dibangkitkan dalam SMS yang diterima oleh menteri tersebut. Janganlah kita terlalu ghairah mengejar soal-soal mencapai kemajuan dari segi fizikal tetapi dari segi semangat cintakan negara ia semakin pudar.

Apalah gunanya segala kemajuan yang dinikmati kalau akhirnya rakyat Malaysia ibarat pelarian di negara sendiri. Tiada gunanya 52 tahun lagi kita hanya menjerit 'merdeka' sedangkan segala-galanya sudah menjadi milik asing tidak kira siapa pun mereka.

ISU AKIDAH ISLAM : SUNNAH PELIHARA KETULENAN AKIDAH

MAJORITI umat Islam Malaysia berfahaman Ahli Sunah wal-Jamaah (Sunah). Terdapat tiga perkara utama yang sering dibicara dan dikaji oleh para sarjana Islam apabila membicarakan ehwal ilmu wahyu.

Pertama, akidah Islam berhubung kepercayaan dan keyakinan terhadap Rukun Islam dan Rukun Iman.

Kedua, kaitan dengan syariah yang mempunyai kaitan dengan amalan ritual dan urusan kehidupan umat Islam. Dalam setiap aspek hidup merangkumi perundangan, perekonomian (perniagaan, pinjaman dan gadaian), kepimpinan dan pentadbiran, pusaka, perkahwinan, jenayah, dan kaffarah.

Ketiga ialah akhlak yang berkaitan dengan keperibadian dan hubungan umat Islam sesama umat dan hubungan mereka dengan masyarakat bukan Islam dan makhluk.

Perkara berkaitan dengan akidah ialah asas kepada penentuan bahawa seseorang itu Islam atau bukan Islam. Ia membicarakan tentang bagaimana seseorang itu mempercayai Allah SWT.

Konsep ketulenan keesaan Allah dan kesempurnaan Allah menjadikan Islam berbeza dengan agama-agama lain. Konsep tiada tolak ansur (uncompromising) berkaitan akidah dan ritual merupakan perkara fundamental Islam.

Jika agama-agama lain boleh bersatu dan bertolak ansur dalam urusan menyembah Allah, maka Islam tidak begitu kerana perbezaan memahami konsep ketuhanan itu menyebabkan cara penyembahan Tuhan juga berbeza. Permintaan berkompromi masyarakat bukan Islam dengan Islam dalam perkara ini telahpun wujud semasa zaman Rasulullah SAW lagi. Mereka meminta Rasulullah dan umat Islam bertolak-ansur dalam menyembah Allah SWT. Ini bermakna, setahun menyembah Allah seperti masyarakat bukan Islam dan setahun lagi menyembah Allah seperti Islam.

Permintaan itu ditolak oleh Rasulullah berdasarkan wahyu dalam Surah Al-Kafirun: Katakanlah wahai Muhammad: Hai orang-orang kafir. Aku tidak menyembah apa yang kamu sembah. Dan kamu tidak mahu menyembah apa yang aku sembah. Dan aku tidak akan beribadat secara kamu beribadat. Dan kamu pula tidak mahu beribadat secara aku beribadat. Bagi kamu agama kamu dan bagiku agamaku.

Ia bukan bererti Islam meminggirkan masyarakat bukan Islam. Ia hanya menegaskan bahawa perkara berkaitan dengan ibadah dan asas Islam tidak boleh dicampuradukkan dengan akidah bukan Islam. Perkara ini perlu difahami oleh masyarakat Islam dan dihormati oleh masyarakat bukan Islam.

Ahli Sunah amat prihatin terhadap ketulenan akidah Islam kerana ia boleh menentukan seseorang itu masih berada dalam Islam atau tersasar. Ia adalah cara untuk menyelamatkan umat Islam daripada ajaran atau doktrin yang sesa t.

Akidah adalah penting untuk menentukan setiap amalan diterima oleh Allah SWT. Jika akidah terpesong daripada garis panduan Allah dan Rasul terutamanya berkaitan Rukun Islam dan Rukun Iman, maka kedudukan seseorang itu sebagai umat Islam akan tergugat. Ahli Sunah menyedari bahawa akidah Islam sering digugat oleh pelbagai kegiatan dan usaha oleh golongan-golongan tertentu sejak sekian lama.

Kegiatan untuk menyatukan agama adalah antara usaha untuk memesongkan akidah Islam. Ulama Ahli Sunah tidak dapat berkompromi dalam perkara ini kerana sikap tolak-ansur dalam hal ehwal berkaitan akidah boleh menyebabkan agama Islam hilang identitinya.

Usaha dan kegigihan para ahli teologi Ahli Sunah memelihara ketulenan merupakan faktor yang menyebabkan akidah Islam terpelihara daripada doktrin atau ideologi yang bertentangan dengan konsep "Tuhan Yang Maha Esa". Akidah Islam yang dipertahankan itu tidak tercemar oleh ideologi politik yang didokong oleh mana-mana parti politik umat Islam.

Pemahaman akidah Islam di bawah pengawasan Ahli Sunah adalah jelas dan tidak ada unsur pengurangan dan penambahan terhadap Rukun Islam dan Rukun Iman jika dibandingkan dengan umat bermazhab lain. Perbezaan ideologi politik yang dianuti oleh umat Islam tidak akan memberi kesan kepada akidah di kalangan Ahli Sunah.

Ini disebabkan perkara-perkara berkaitan dengan politik dan perbezaan corak pemikiran umat Islam dalam menentukan sistem pemerintahan dan kepimpinan adalah termasuk dalam perbahasan syariah bukan dalam aspek akidah.

Jika perkara-perkara berkaitan dengan politik dimasukkan ke dalam perbahasan akidah Islam maka akidah itu akan tercemar dan pelbagai bentuk bidaah dan khurafat akan menjadi amalan umat Islam. Ahli Sunah tidak menggabungkan pemahaman politik berkaitan dengan konsep imamiyyah (kepimpinan), taqiyya (penyamaran untuk mengelakkan sebarang bahaya) dan raj'a (kembali selepas mati sebelum hari kiamat dengan tujuan untuk menegakkan keadilan) berbanding akidah Islam seperti diamalkan oleh fahaman Syiah.

Kumpulan Syiah menjadikan ideologi politik sebagai doktrin terutama berkaitan dengan konsep imamiyyah tersebut. Sebahagian daripada Syiah mempercayai bahawa seseorang yang mati tanpa mengetahui imam (pemimpin) semasanya maka beliau mati dalam keadaan jahiliah. Ahli Sunnah lebih menumpukan perhatian kepada perkara berkaitan dengan Rukun Islam dan Rukun Iman untuk menentukan seseorang itu Muslim atau kafir dan bukannya berdasarkan kepada pemikiran yang taksub kepada pemimpin politik.

Pergolakan politik sesama umat Islam merupakan proses penentuan kepimpinan umat Islam dan ia tidak mempunyai kaitan dengan aspek akidah. Oleh itu Ahli Sunah menolak doktrin Syiah yang mengkafirkan Aisyah (isteri Rasulullah SAW), Abu Bakar As-Siddiq, Umar al-Khattab, Uthman Affan dan Mu'awiyyah kerana tidak melantik Saidina Ali Abu Talib sebagai khalifah selepas kematian Rasulullah SAW.

Kumpulan Syiah telah mencampuradukkan ideologi politik dengan akidah Islam sehingga menyebabkan mereka sanggup mengkafirkan para sahabat Rasulullah SAW dan isteri Baginda lantaran terlalu taksub kepada 'parti Ali'. Sedangkan Saidina Ali sendiri tidak pernah beranggapan seperti itu. Malah beliau sendiri menentang ideologi sekumpulan ahli 'partinya' yang dikenali sebagai Khawarij dan menghukum Mu'awiyyah sebagai kafir.

Saidina Ali secara tegas menyatakan kritikan beliau terhadap Mu'awaiyyah tetapi bukan mengkafirkannya. Ali hanya menentang Mu'awiyyah dalam perkara-perkara yang tidak bertepatan dengan prinsip kepimpinan dan pentadbiran Islam. Saidina Ali tidak pernah meminta pengikut taksub kepadanya sehingga sanggup mengkafirkan para sahabat Rasulullah SAW.

Malah seorang anak Ali, Muhammad Ibn Hanafiyyah sendiri menolak ideologi Syiah berkaitan dengan konsep imam dan al-Mahdi yang dipegang oleh Syiah. Beliau ialah anak Ali bersama seorang wanita bernama Hanafiyyah yang dikahwini selepas kematian Saidatina Fatimah. Beliaulah yang dianggap sebagai Imam Mahdi oleh Syiah. Jika akidah Islam digabungkan dengan sentimen ideologi politik maka pelbagai kegiatan bidaah akan dianuti oleh umat Islam.

Kumpulan Kaysaniyyah dari Syiah menjadikan unsur mencederakan diri seperti mengantuk kepala ke dinding dan menepuk dada dan meraung-raung kesedihan sebagai tradisi ketika menyambut 10 Muharam (Hari Asyura). Ia diraikan setiap tahun sempena memperingati kematian Saidina Hussein a.s di Karbala. Ia sebagai menyatakan kekesalan kerana tidak membantu Hussein menentang Khalifah Yazid dalam peperangan itu. Bagaimanapun tradisi tersebut ternyata bertentangan dengan syariah dan akidah Islam.

Berdasarkan penjelasan tersebut, maka umat Islam di negara ini sepatutnya mengikut ajaran Ahli Sunnah supaya akidah dan amalan seharian tidak bertentangan dengan konteks ajaran Islam yang sebenarnya.