THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES

Sunday, February 7, 2010

Bismillahirrahmanirrahim..

Ke hadapan sahabatku yang kukasihi dan kusayangi kerana Allah,

Semoga dirimu sentiasa di bawah lindungan rahmatNya serta dikurniakan tubuh badan yang sihat bagi menunaikan tanggungjawabmu sebagai seorang Muslim. Ketika nukilan ini kutulis mungkin kau sedang ditemani oleh sahabatmu atau insan tersayang yang mampu menceriakan dirimu lebih dariku. Walau bersama siapapun dirimu ketika ini, walau siapa jua di sisimu, diriku tetap mendoakan kesejahteraan dan kebahagiaan dirimu, InsyaAllah..

Sahabatku,
Sepanjang cuti yang telah berlalu, sepanjang masa terluang yang telah diberikan olehNya, dan sepanjang nafas yang masih n0rmal ku rasakan, banyak yang telah kufikirkan. Tentang kata-katamu mengenai diriku. Tentang teguran darimu yang membuat diriku tersedar dari lamunanku. Tentang alasan dan karenahmu yang tiba-tiba berubah. Dan segalanya yang menghambarkan tali perhubungan kita.Terima kasih wahai sahabatku. Dengan kata-kata dan teguran darimu, penjelasan dan ketegasanmu, aku muhasabah kembali tentang apa yang telah aku lakukan sepanjang kita bersahabat. Adakalanya perlakuan dan tutur kataku melukai hatimu. Tapi kau masih tersenyum ketika berbicara denganku. Ku akui kelemahan diri yang sukar sekali mengawal bicaraku. Telah banyak kali kuingatkan diri ini agar mengawal setiap tutur bicaraku namun diriku kecundang jua. Aku juga amat menyesali kerana aku begitu lalai dan lupa dengan apa yang telah dikurniakanNya sehingga aku tidak menyayangi dirimu sahabat keranaNya. Kerana Dia sahajalah yang menemukan diriku denganmu, dan Dia sahajalah yang ingin menguji diriku dengan kebahagiaan dan penghargaan yang rasanya sangat berharga di atas dunia ini. Namun, semuanya terlambat, segalanya telah ditarik olehNya kerana kelalaianku. Namun, kini aku perlu belajar meredhai dan sabar dengan ketentuanNya. Bagiku, setiap yang berlaku, pasti ada hikmah yang ingin ditunjukkanNya.

Sahabatku,
Kadang-kadang banyak perkara yang ingin kukongsi bersama dirimu. Bila kusedar tentang siapa diriku pada pandangan matamu, cepat-cepat aku padamkan keinginan hatiku itu. Aku mengerti bahawa aku bukanlah sesiapa pada dirimu. Tapi bagiku dirimu amat bererti buat diriku. Sejak aku mengenali dirimu, banyak perkara yang tak pernah aku bayangkan menjadi sebahagian dari kisah hidupku telahpun kutempuhi. Ianya amat beerti bagi diriku yang masih mencari tentang erti kehidupan yang sebenar. Mungkin benar jika dirimu selalu berkata bahawa hidup dan dirimu tidak sesempurna aku dan lebih banyak kelebihanku berbanding dirimu. Tapi, sedarlah, dari apa yang telah sama-sama kita lalui ini, bahananya, pengakhirnya mungkin, aku rasakan diriku menjadi lebih baik dari yang sebelumnya. Aku dapat belajar dari kesalahanku, aku dapat memahami lebih banyak erti permainan dunia, aku dapat merasa kemanisan menjadi diri yang sebenar, aku dapat mencari semangat dan arah dalam hidupku sendiri tanpa perlu lemah, berdamping dan terlalu percayakan dan mengharap pada sesiapa. Ini semua aku dapat rasakan walaupun tidak sepenuhnya, selepas aku sedari dan bawa diriku dimana-mana bersamaNya. Barulah aku sedar, tidak ada gunanya solat yang aku lakukan 5 waktu sehari semalam selama ini tanpa memahami, merasai dan melakukan amar makruf nahi munkar di atas dunia ini. Begitu simple kunci rahsia untuk mendampingiNya yang telah aku jumpai, untuk memperbaiki kejahilan dan keduniaan diri ini, hanya dengan mengikhlaskan diri dalam apa jua tindakan semata-mata keranaNya, sentiasa bermuhasabah diri, tidak tinggal petunjuk al-QuranNya, dan memaafkan oranglain dan mengamalkan apa yang dipelajari. Aku tidak mengatakan aku sudah perfect, nauzubillah jauh sekali dari niat dan tidak langsung terlintas di fikiran ini, namun dengan jujur, itulah yang cuba aku lakukan untuk akhir zaman ini, selagi aku mempunyai kudrat dan usia di dunia.

Sahabatku,
Jika dirimu merasai pentingnya hubungan dalam persahabatan, jangan malu dan segan untuk tegur apa kesalahanku yang kau lihat, selagi mana tidak menjatuhkan maruahku, InsyaAllah, aku akan sedaya upaya berubah ke arah yang lebih baik. Jangan persoalkan siapalah dirimu untuk menegurku, tetapi persoalkanlah dimana tanggungjawabmu kepada sahabatmu yang lemah dan perlukan tunjuk ajar dan nasihat yang baik.

Sahabatku,
Kali ini dengan berkat kesungguhanku yang benar-benar ingin berubah kerana Allah, aku akui tidak sesekali meminta sepertimana dulu, bergelombang dengan maksiat dan hawa nafsu yang tidak keruan. Aku cuma mahu agar kasih sayang aku yang masih berbaki ini, yang berbau kasih sayang antara saudara seislam dan sahabat seperjuangan ini masih boleh diteruskan lagi dengan sama-sama berjuang mengejar rahmat dan makna hidup yang hakiki di dunia ini selagi mana dunia masih belum binasa, selagi rintihan dan kemaafan masih diterima oleh Ya Rabbul A’lamin.

Sahabatku,
Andai aku mempunyai kuasa untuk mencipta ruang masa yang lebih panjang, aku ingin mengulangi semula segalanya yang pahit ku rasakan dahulu menjadi manis, yang sedih menjadi gembira, yang salah menjadi betul, yang terpisah menjadi bertemu semula dan sebagainya. Namun, tiada yang lebih sempurna dan Maha Mengetahui setiap apa yang dirancang melainkan Allah SWt yang berhak ke atas segala penciptaanNya.

Sahabatku,
Aku tidak mampu lagi untuk menyusun madah kerana setiap kali diriku mencoret nukilan buatmu aku dapat rasakan yang kau semakin jauh dariku. Ambillah sebanyak mana waktu yang kau mahukan, sekalipun bercerai nyawa dari badanku. Akanku didik diri ini agar sabar dalam menanti sebuah episod yang mungkin ada atau tidak dalam persahabatan ini. Jika itu harga sebuah kemaafan yang perlu kubayar atas semua kesalahanku, akan kusabar dalam penantian ini. Kerana Allah SWt sentiasa bersama

Sekian dariku.

Sahabatmu,
nursaQsi.